Sunday, September 2, 2018

Renungan Petang SDA, Ahad 02 September 2018


Renungan Petang
Ahad 02 September 2018

Gagah Perkasa

"Dengan Allah akan kita lakukan perbuatan-perbuatan gagah perkasa, sebab Ia sendiri akan menginjak-injak para lawan kita." Mazmur 60:14

Makna perkataan "gagah perkasa" bagi setiap orang pasti memiliki pendapat yang berbeza-beza. Ada yang berpendapat bahawa gagah perkasa identik dengan susuk badan yang  tegap dan berotot. Lelaki mana yang tidak disanjung bila orang lain memujinya sebagai lelaki yang gagah perkasa. Gagah perkasa  melambangkan kekuatan.

Namun ada yang memiliki pandangan berbeza bahawa gagah perkasa itu adalah sebuah ungkapan untuk menggambarkan seseorang yang mampu melalui berbagai cabaran atau mampu menaklukkan segala sesuatu yang dihadapinya, termasuk kemampuan untuk mengatasi masalah atau melalui penderitaan yang dialaminya.

Setiap orang percaya berpotensi besar melakukan perbuatan yang gagah perkasa, asalkan sentiasa hidup dekat dengan Tuhan dan mengutamakan-Nya. Halangan dan cabaran ada di hadapan tetapi ketika bersama Tuhan "Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku." (Filipi 4:13).

Apa-apa sahaja yang akan terjadi di hadapan, pasti kualiti iman kita akan teruji. Tuhan tidak akan berjanji menjauhkan musuh, tapi Dia berjanji akan memberikan kekuatan luar biasa atau luar kemampuan manusia agar kita dapat mengalahkan setiap musuh, "sebab Roh yang ada di dalam kamu, lebih besar dari pada roh yang ada di dalam dunia." (1 Yohanes 4:4). 

Ketika berhadapan dengan Goliat, raksasa Filistin yang tingginya enam hasta sejengkal, Saul dan segenap orang Israel berasa takut. Tetapi Daud yang menjadikan Tuhan sebagai pusat kekuatan hidupnya dapat berkata, "TUHAN yang telah melepaskan aku dari cakar singa dan dari cakar beruang, Dia juga akan melepaskan aku dari tangan orang Filistin itu." (1 Samuel 17:37). Daud mampu mengalahkan raksasa Filistin itu. Bersama Tuhan, Daud melakukan perbuatan yang gagah perkasa.

Inilah janji Tuhan bagi orang percaya. Dia bukan hanya berjanji, namun Dia juga mengotakannya, yang oleh-Nya kita menjadi umat yang lebih daripada pemenang. "Sesungguhnya barangsiapa percaya kepada-Ku, ia akan melakukan juga pekerjaan-pekerjaan yang Aku lakukan, bahkan pekerjaan-pekerjaan yang lebih besar dari pada itu." Yohanes 14:12.


Tuhan memberkati!

No comments:

Post a Comment