Monday, September 3, 2018

Renungan Petang SDA, Isnin 03 Septembef 2018


Renungan Petang
Isnin, 03 September 2018

Jangan Memegahkan Diri

"Supaya jangan ada seorang manusiapun yang memegahkan diri di hadapan Allah." 1 Korintus 1:29

Di dunia ini ada ramai orang pintar, hebat dan ramai pula orang kaya dan berkedudukan tinggi. Ramai juga di antara mereka terlibat dalam pelayanan pekerjaan Tuhan.

Inilah yang harus diperhatikan, segala kelebihan yang dimiliki (pintar, hebat, kaya dan berkedudukan) jangan sampai membuat kita memegahkan diri. Jangan sampai kita kelihatan melayani Tuhan tetapi sesungguhnya diri sendiri yang didahulukan. Lalu kehebatan, kekuatan dan kemampuan diri yang digembar-gemburkan di hadapan semua orang.

Kita harus ingat bahawa kebolehan, karunia, bakat dan kelebihan-kelebihan yang kita miliki adalah anugerah dari Tuhan. Oleh itu harus dipergunakan untuk kemuliaan nama Tuhan dan bukan untuk memperbesarkan ego sendiri. Jika kita melayani Tuhan dengan menggunakan kekuatan dan kemampuan diri, serta membangga-banggakan apa yang kita miliki, maka kita sedang menolak pekerjaan Tuhan dan juga menghalang kuasa-Nya bekerja di dalam kita.

Fokus utama pelayan Tuhan adalah memberitakan Injil, memberitakan kuasa salib Kristus dan memuliakan nama Tuhan dan bukan memberitakan kemasyuran diri dan mengutamakan kelebihan peribadi. Rasul Paulus berkata, "Sebab Kristus mengutus aku bukan untuk membaptis, tetapi untuk memberitakan Injil; dan itupun bukan dengan hikmat perkataan, supaya salib Kristus jangan menjadi sia-sia." (1 Korintus 1:17).

Sesungguhnya Tuhan tidak memerlukan kita kerana sesuatu yang kita miliki. Tuhan memerlukan kita sebagai "rakan sekerja-Nya" dan sebagai "alat" untuk menyalurkan kuasa-Nya kepada orang lain. Oleh itu tidak ada alasan bagi kita untuk membangga-banggakan diri. Jika kita meninggikan diri sendiri bermakna kita telah merendahkan kuasa Kristus.


Tuhan memberkati!
  

No comments:

Post a Comment