Renungan Petang
Ahad, 09 September 2018
Ahad, 09 September 2018
Menjadi Berkat Kepada Ibubapa
"Anak yang bijak mendatangkan sukacita kepada ayahnya, tetapi anak yang bebal adalah kedukaan bagi ibunya." Amsal 10:1
Di zaman sekarang ini sering kita melihat anak-anak muda yang kurang menghormati ibubapa. Mereka lebih suka melawan dan menentang nasihat ibubapa yang dianggap "kuno" atau ketinggalan zaman, lalu mereka pun memilih kehidupan sendiri karena merasa diri sudah matang dan boleh berdikari.
Akibatnya? Ramai yang terlibat salah laku sosial atau kes juvana seperti terlibat dalam kecanduan dadah, seks bebas, ragut dan sebagainya. Firman Tuhan sudah memperingatkan, "Janganlah kamu sesat: Pergaulan yang buruk merusakkan kebiasaan yang baik." (1 Korintus 15:33).
Sebagai seorang anak, menghormati ibubapa adalah satu kewajiban, dan merupakan perintah Tuhan yang harus ditaati, malah termasuk dalam salah satu dari sepuluh hukum Tuhan. "Hormatilah ayahmu dan ibumu, supaya lanjut umurmu di tanah yang diberikan TUHAN, Allahmu, kepadamu." (Keluaran 20:12).
Kepada anak-anak yang menghormati ibubapanya, Tuhan telah menyediakan berkat-berkat-Nya. Dan juga terhadap anak yang mahu membalas budi dan berbuat baik kepada ibubapanya ada berkat baginya. Kerana itu selagi ibubapa kita masih hidup, hormatilah dan perlakukan mereka dengan kasih Kristus.
Mereka yang tidak menghormati ibubapanya, berlaku kurang ajar, tidak ambil peduli, tidak bertanggungjawab, membawa ibubapanya ke Rumah Orang-orang Tua, apalagi sampai mengasari mereka, dia telah melanggar firman Tuhan. Kita menghormati ibubapa bukan semata-mata kerana mereka telah mencukupi semua keperluan kita atau dengan harapan supaya mendapatkan warisan.
Kalau demikian, maka kasih seperti itu adalah kasih yang tidak ikhlas kerana disertai dengan motif yang tersembunyi. Menghormati ibubapa haruslah dengan kasih yang tulus dalam apapun keadaan mereka. Sekalipun mereka tidak mampu memberikan apa yang kita perlukan, sebagai anak kita harus tetap menghormati dan mengasihi ibubapa kita.
Seorang anak yang menghormati dan membalas kasih ibubapanya, Tuhan pasti akan membalas perbuatan baiknya, sekalipun ibubapa tidak mampu mencukupi keperluan mereka. Jasa dan pengorbanan mereka adalah cukup besar dan sangat bermakna.
Berapa kerapkah anda pulang ke rumah untuk memuaskan rindu dan sayang anda kepada mereka?
Apakah anda sering membebani mereka dengan kerja-kerja rumah, menjaga anak-anak anda dan sebagainya? Kembalilah dan tunjukkan keikhlasan kasih sayang anda kepada mereka.
Kiranya Tuhan memberkati!
No comments:
Post a Comment