Renungan Petang
Rabu, 15 Ogos
2018
Mengikut Perintah Tuhan
"Setiap jalan orang adalah lurus menurut pandangannya sendiri, tetapi TUHANlah yang menguji hati." Amsal 21:2
Sebuah kisah di dalam Alkitab (Yosua 4-6), bagaimana Tuhan menyuruh Yosua dengan satu perintah yang agak "pelik" iaitu, mengelilingi kota itu selama 7 hari dengan membawa tabut dan 7 orang imam harus berjalan di depan dengan membawa 7 sangkakala. Kecuali hari ke-7 dimana mereka harus mengelilingi kota itu 7 kali sambil membunyikan sangkakala, 6 hari lainnya mereka cukup mengelilingi kota itu sekali saja tanpa membunyikan apa-apa.
Perhatikan angka 777 disana. Sungguh pelik perintah ini, bukan? Tetapi Alkitab dari awal buku Kejadian, sering kita melihat perintah yang "pelik-pelik" menurut logik fikiran kita. Tapi ingat! Jangan pernah bertanya dan meragukan serta cuba melakukan sesuatu supaya masuk di dalam "fikiran logik" kita. Jangan! Itu tidak baik untuk dilakukan, merbahaya! Lakukan saja seperti apa yang sudah diperintahkan Tuhan.
Ingat cerita Adam dan Hawa di dalam buku Kejadian ketika Tuhan mengizinkan semua pohon di taman itu boleh dimakan buahnya kecuali buah dari pohon pengetahuan baik dan jahat itu. Tetapi Hawa menggunakan "fikiran logiknya" untuk mencuba dan akhirnya dia gagal.
Masihkah kita ingat tentang anaknya juga, Kain mempersembahkan korban kepada Tuhan tetapi dia mencuba menggunakan caranya sendiri atau fikiran logiknya dengan tidak melakukan seperti yang diperintahkan Allah atau seperti dilakukan adiknya Habel. Kain akhirnya gagal.
Bagaimana dengan keluarga Abraham, mereka disuruh "menunggu" sampai saat Tuhan memberikan "anak perjanjian" itu. Tetapi mereka mencuba memakai "cara sendiri", dengan mengambil seorang isteri lagi untuk mendapatkan anak. Mereka akhirnya menghadapi permasalahan.
Mengapa ramai orang binasa di-zaman Nuh? Karena mereka menggunakan pendapat mereka sendiri ketika mendengarkan "khotbah amaran" Nuh sehingga mereka menolak untuk masuk ke bahtera itu.
Tetapi cuba perhatikan Naaman, panglima yang sakit kusta, itu ketika dia menurut tanpa menggunakan "fikiran sendiri", lalu membenamkan diri di sungai Yordan sebanyak 7 kali. Kemudian penyakitnya pun hilang dan dia sembuh secara keseluruhan.
Ingat juga para pelayan di pesta Kana, yang mengumpulkan tempayan-tempayan dan mengisinya dengan air, tanpa menggunakan "fikiran sendiri", akhirnya Yesus membuat mukjizatnya yang pertama untuk menyelesaikan masalah.
Juga ingatkah kita ketika murid-murid akhirnya menebarkan jalanya di siang hari itu, hanya di tepi pantai tanpa banyak alasan menggunakan "fikiran logik bagi seorang nelayan". Sebagai hasilnya ikan-ikan besar dalam jumlah banyak, mereka perolehi.
Kembali pada kisah Yerikho, fikirkan ini, "seandainya Yosua dan orang Israel tidak menerima perintah Tuhan ini kerana merasa aneh atau pelik dan tidak logik, maka mungkin cerita hebat dalam Yosua pasal 6, tidak pernah akan ada."
Hari ini, apa yang ada didepan kita? Persoalan? Masalah? Kesukaran? Apa yang kita fikirkan? Mencuba untuk menyelesaikan semuanya dengan fikiran kita sendiri atau cara kita sendiri? Tunggu dulu! Sebelum kita jauh melangkah dan mungkin akan gagal, mari kita berhenti sejenak, minta Dia yang lebih berkuasa dari segala sesuatu untuk menyelesaikan masalah-masalah kita tanpa menggunakan "fikiran logik" dan "pendapat manusia".
Biarkan "cara Allah" yang menyelesaikan persoalan kita, dan dengarkanlah apa yang Dia inginkan tanpa bertanya dan ragu-ragu. Jika Tuhan katakan "jangan", maka janganlah kita lakukan dan jika sekiranya Tuhan katakan kita harus " melakukan", lakukanlah tanpa berfikir mengikut tahap logik fikiran kita. Turutilah semua hukum dan perintah Tuhan tanpa mengikut fikiran logik sendiri.
Kiranya Tuhan memberkati!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!