Renungan Petang
Ahad, 19 Ogos 2018
Ahad, 19 Ogos 2018
Menjadi Orang Besar?
"Jika seseorang ingin menjadi yang terdahulu,
hendaklah ia menjadi yang terakhir dari semuanya dan pelayan dari semuanya." Markus 9:35
Kapernaum ialah salah satu bandar terpenting dan tidak asing bagi pelayanan Yesus. Banyak aktiviti kerohanian Yesus di bandar itu. Yesus menyembuhkan hamba seorang perwira, menyembuhkan orang lumpuh yang diturunkan dari atap rumah, mengajar dan juga memanggil murid-murid dan sebagainya. Alkitab menyebut Kapernaum sebagai kota-Nya sendiri (baca Matius 9:1).
Tetapi apa yang menyedihkan adalah walaupun banyak mukjizat Yesus di Kapernaum hanya sedikit orang yang percaya kepada-Nya. Ketika berkumpul dengan murid-murid-Nya, Yesus mendengar perdebatan mereka yang mempersoalkan tentang siapa di antara mereka yang layak menjadi murid Tuhan yang 'terbesar'. Sebagai manusia biasa, tidak ada seorang pun yang ingin menjadi orang 'bawahan' atau dipandang hina oleh orang lain. Sebaliknya semua orang memiliki keinginan atau hasrat untuk menjadi yang terbesar.
Manusia seringkali mengukur 'kebesaran' seseorang berdasarkan apa yang mereka lihat secara kasar mata. Contohnya, memiliki banyak gelaran, pangkat dan memiliki harta kekayaan yang banyak. Dunia berpendapat bahawa orang yang terbesar adalah orang yang biasa dilayani dan disebut sebagai "boss", sedangkan orang yang melayani adalah orang kecil atau bawahan. Namun apa gunanya menjadi terbesar di hadapan manusia tetapi 'terkecil' dalam pandangan Tuhan?
Untuk menjadi yang terbesar, Tuhan Yesus memiliki cara yang berbeza iaitu, harus melayani, bukan dilayani, sama seperti Dia datang ke dunia bukan untuk dilayani melainkan untuk melayani (baca Matius 20:28). Orang percaya bukan hanya mempeduli anggota yang berkemampuan tetapi seharusnya kepada siapapun termasuklah anggota yang tidak berkemampuan. Mereka juga termasuk dalam kategori sebagai orang terbesar di mata Tuhan.
Yang terbesar di mata Tuhan adalah mereka yang mahu melayani dan bukan dilayani. Biarpun kita dipandang hina oleh masyarakat namun kita tetap berharga di hadapanNya. Layanilah sesamamu kerana begitulah engkau melayani Tuhan Yesus.
Kiranya Tuhan memberkati!
Kiranya Tuhan memberkati!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!
A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment