Renungan Petang
Jumaat, 17 Ogos 2018
Jumaat, 17 Ogos 2018
Aib Dihapuskan
"Inilah suatu perbuatan Tuhan bagiku, dan sekarang Ia berkenan menghapuskan aibku di depan orang." Lukas 1:25
Ada beberapa wanita yang tercatat di Alkitab yang mengalami mukjizat dari Tuhan iaitu, memiliki keturunan di usia yang sudah tua seperti Sara, Hana dan juga Elisabet. Hari ini kita akan bercerita secara ringkas tentang kisah kehidupan Elisabet.
Elisabet adalah isteri kepada seorang imam bernama Zakharia. "Keduanya adalah benar di hadapan Allah dan hidup menurut segala perintah dan ketetapan Tuhan dengan tidak bercacat." (ayat 6). Walaupun memiliki hati yang takut akan Tuhan (hidup benar) bukan bermakna mereka terlepas dari masalah. Siapa pun di dunia ini tidak akan pernah lepas dari masalah atau penderitaan yang merupakan bahagian dari kehidupan ini. Musa pun mengakui bahawa kebanggaan hidup manusia adalah kesukaran dan penderitaan (baca Mazmur 90:10).
Masalah Elisabet dan suaminya adalah: "...mereka tidak mempunyai anak, sebab Elisabet mandul dan kedua-duanya telah lanjut umurnya." (Lukas 1:7). Demikianlah, sebuah keluarga tidaklah lengkap tanpa kehadiran cahaya mata. Di zaman dahulu kemandulan merupakan aib dan menimbulkan pandangan negatif bagi wanita tersebut dan juga suaminya. Di kalangan Yahudi, besar kemungkinan mereka diasingkan oleh masyarakat, apalagi status Zakharia adalah seorang imam.
Puluhan tahun lamanya keluarga ini terpaksa mengalami tekanan, hinaan dan ejekan dari orang-orang di sekitar mereka. Walaupun demikian, hal itu tidak membuat mereka kecewa kepada Tuhan. Mereka tetap setia melayani Tuhan. Elisabet juga sangat beruntung memiliki suami yang saleh. Walaupun tahu bahawa dia mandul, Zakharia tidak bersikap semena-mena atau meninggalkannya. Dia tetap setia kepada isteri dan Tuhannya.
Sebagai manusia biasa, mereka tidak memiliki cara menghapus aib tersebut, kecuali hanya berdoa memohon belas kasihan Tuhan. "Tidakkah Allah akan membenarkan orang-orang pilihan-Nya yang siang malam berseru kepada-Nya? Dan adakah Ia mengulur-ulur waktu sebelum menolong mereka?" (Lukas 18:7). Janji Tuhan pun digenapi, Ia mengutus malaikat Gabriel untuk menyampaikan khabar sukacita: "Jangan takut, hai Zakharia, sebab doamu telah dikabulkan dan Elisabet, isterimu, akan melahirkan seorang anak laki-laki bagimu dan haruslah engkau menamai dia Yohanes." (Lukas 1:13).
"Ya, semua orang yang menantikan Engkau takkan mendapat malu;" Mazmur 25:3. Tuhan memberkati!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!
A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment