Renungan Petang
Isnin, 23 Julai 2018
Isnin, 23 Julai 2018
Sukar Melepaskan Kesenangan Dunia?
"Lebih mudah seekor unta melewati lobang jarum dari pada seorang kaya masuk ke dalam Kerajaan Allah." Markus 10:25
Semakin kita memusatkan perhatian kepada kesenangan dan kenikmatan hidup di dunia, semakin kecil kesempatan kita untuk menikmati kehidupan yang sesungguhnya, kekekalan bersama Kristus, "Apa gunanya seorang memperolehi seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya?" (Matius 16:26).
Jangan pernah sia-siakan kesempatan yang ada untuk mengejar perkara-perkara rohani lebih dari apa pun. Tidak menghargai kesempatan maksudnya tidak menghargai Tuhan yang memberi kesempatan. Orang yang tidak mahu kehilangan kesenangan dan kenikmatan duniawi (daging) akan kehilangan kesempatan pada hari esok.
Musa menyatakan ini, "Masa hidup kami tujuh puluh tahun dan jika kami kuat, delapan puluh tahun," (Mazmur 90:10). Tujuh puluh atau lapan puluh tahun adalah kehidupan sementara. Kita tidak boleh bersikap seolah-olah kita akan menetap selama-lamanya di bumi ini. Biarlah sedikit waktu yang terhad ini kita jadikan kesempatan untuk mengumpulkan harta syurgawi.
Ada sebahagian orang berfikir bahawa kita adalah orang paling rugi sekali di dunia jika tidak menikmati segala kesenangan duniawi. Perlu diingatkan bahawa kesenangan duniawi tak kekal lama dan biasanya berakhir dengan kebinasaan.
Ramai orang menganggap bahawa yang paling berharga di dalam kehidupan ini adalah wang, simpanan di bank, rumah mewah, kereta mewah, aset perniagaan, jawatan dan sebagainya, kerana memiliki semua itu akan memberi jaminan bahawa kehidupan akan aman dan bahagia.
Tak hairanlah jika mereka akan berfikir seribu kali jika harus melepaskan segala kesenangan ini dan memilih Tuhan. "Karena di mana hartamu berada, di situ juga hatimu berada." (Matius 6:21). Harta kekayaan jika tidak dikelola dengan baik menjadi jerat dan membinasakan, sama seperti api, boleh menjadi kawan atau lawan.
Namun harus diakui bahawa semakin banyak kita memiliki segala sesuatu semakin berat bagi kita untuk merelakan atau melepaskannya. Rasul Paulus memberi peringatan agar kita tidak berharap sepenuhnya kepada sesuatu yang tidak pasti, seperti kekayaan (baca 1 Timotius 6:17). Inilah tipu muslihat Iblis untuk membuat manusia terikat sedemikian rupa dengan segala sesuatu yang ada di dunia ini sehingga tidak lagi mengutamakan Tuhan!
Kiranya Tuhan memberkati!
No comments:
Post a Comment