Wednesday, July 25, 2018

Renungan Petang SDA, Rabu 25 Julai 2018

Renungan Petang
Rabu, 25 Julai 2018

Berkat Kepada Mereka Yang Setia

"Maka menaburlah Ishak di tanah itu dan dalam tahun itu juga ia mendapat hasil seratus kali lipat; sebab ia diberkati TUHAN." Kejadian 26:12

Berkata tentang kesetiaan adalah hal yang mudah tetapi sukar untuk melakukannya, apatah lagi ketika berada dalam keadaan yang sukar. Sesungguhnya kesetiaan selalu mendatangkan berkat, sebab Tuhan membalas setiap orang sesuai dengan perbuatannya. "Terhadap orang yang setia Engkau berlaku setia, terhadap orang yang tidak bercela Engkau berlaku tidak bercela, terhadap orang yang suci Engkau berlaku suci, tetapi terhadap orang yang bengkok Engkau berlaku belat-belit." (Mazmur 18:26-27).

Ishak adalah salah satu contoh tokoh alkitab yang mengalami berkat Tuhan secara luar biasa kerana setia melakukan apa yang Tuhan perintahkan walaupun dalam situasi atau keadaan yang kurang baik. Ketika terjadi kelaparan hebat, Tuhan melarang Ishak untuk pergi ke Mesir, melainkan tinggal di Gerar, suatu tempat di Filistin.

"Tinggallah di negeri ini sebagai orang asing, maka Aku akan menyertai engkau dan memberkati engkau, sebab kepadamulah dan kepada keturunanmu akan Kuberikan seluruh negeri ini, dan Aku akan menepati sumpah yang telah Kuikrarkan kepada Abraham, ayahmu."  (Kejadian 26:3).

Sebagai manusia yang berdosa, kelihatannya perintah Tuhan seringkali tidak masuk akal. Dari itu ada ramai orang kehilangan kesetiaan, wahhal Tuhan mempunyai rencana yang indah bagi setiap orang yang mahu taat kepada-Nya. "Sebab rancangan-Ku bukanlah rancanganmu, dan jalanmu bukanlah jalan-Ku, demikianlah firman TUHAN. Seperti tingginya langit dari bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku dari jalanmu dan rancangan-Ku dari rancanganmu." (Yesaya 55:8-9).

Bukan perkara mudah untuk tinggal sebagai orang asing, namun Ishak memilih untuk setia kepada kehendak Tuhan. Dia datang menghadap Abimalekh, raja orang Filistin di Gerar dan minta izin untuk tinggal di sana.  Alkitab mencatatkan bahawa ayah Ishak  (Abraham) juga pernah tinggal di Gerar dan menggali sejumlah sumur di sana tetapi sudah ditutup oleh orang-orang Filistin;  dan ketika berada di Gerar Ishak pun menggali kembali sumur-sumur yang telah ditutup itu dan menamainya menurut nama-nama yang telah diberikan oleh Abraham:  Esek, Sitna, Rehobot dan Syeba.

Inilah berkat bagi orang yang taat kepada Tuhan: Ishak "...menjadi kaya, bahkan kian lama kian kaya, sehingga ia menjadi sangat kaya." (Kejadian 26:13). Kita juga akan mendapat berkat yang berkelimpahan apabila kita hidup penuh setia kepadaNya. Kiranya Tuhan memberkati!


Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati anda!

A. A. Pondili

No comments:

Post a Comment