Saturday, July 28, 2018

Renungan Petang SDA, Sabat 28 Julai 2018

Renungan Petang
Sabat, 28 Julai 2018

Segeralah Datang KepadaNya

"Hanya Dialah gunung batuku dan keselamatanku, kota bentengku, aku tidak akan goyah." Mazmur 62:3

Sebagai manusia biasa, kita tak terlepas dari peristiwa-peristiwa yang kadang-kadang membuat kita merasa letih lesu. Dan apabila tak terkawal, perasaan itu akan berubah menjadi suatu tekanan dan menyebabkan kemurungan. Kemurungan adalah suasana hati yang sedih dan mungkin berlangsung dalam waktu yang lama. Hal itu boleh mengakibatkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, putus harapan, tidak bersemangat dan cenderung menyalahkan diri sendiri.

Ketika menghadapi situasi atau keadaan yang sukar, saat itulah kematangan iman seseorang percaya teruji. Kematangan iman bukan boleh diukur melalui tahap pendidikan atau harta kekayaan yang dimiliki. Orang yang karib dengan Tuhan pasti tidak akan gelisah dan tidak akan goyah imannya, sebab dia tahu bahawa Tuhan adalah gunung batu, keselamatan dan kota benteng hidupnya.

Daud juga pernah mengalami hal yang sama, namun dia terus menguatkan diri: "Mengapa engkau tertekan, hai jiwaku, dan gelisah di dalam diriku? Berharaplah kepada Allah!" (Mazmur 42:6). Dalam keletihannya, dia segera mendekat kepada Tuhan dan berseru kepada-Nya, sebab "Hanya dekat Allah saja aku tenang, dari pada-Nyalah keselamatanku." (Mazmur 62:2). Sangat tepat keputusan Daud apabila segera mengambil langkah mencari Tuhan, sebab ketika dalam tekanan berat acapkali manusia kehilangan akal.

Ramai orang percaya mengalami kemurungan iman sehingga mereka tidak segan-segan melepaskan kepercayaan Kristus demi mendapatkan jaminan keamanan dunia.  Mereka lebih rela menderita menempuhi jalan yang bertentangan dengan kehendak Tuhan daripada menderita mengikutNya. Segeralah datang kepadaNya, iaitu di bawah naungan sayap-Nya di mana kita pasti dijaga dengan aman.

Tuhan itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, dan sebagai penolong dalam kesesakan, sungguh benar-benar terbukti!  (baca  Mazmur 46:2). Amen! Kiranya Tuhan memberkati!



Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!

A. A. Pondili

No comments:

Post a Comment