Renungan Petang
Ahad, 22 Julai 2018
Ahad, 22 Julai 2018
Nasib Yang Baik Bukan Selama-lamanya
"Sebab sesungguhnya, siapa yang jauh dari pada-Mu akan binasa; Kaubinasakan semua orang, yang berzinah dengan meninggalkan Engkau." Mazmur 73:27
Asaf adalah keturunan dari suku Lewi yang bertugas sebagai pemimpin pujian di hadapan tabut Tuhan dan ketua paduan suara di zaman raja Daud (1 Tawarikh 16:4-5). Mazmur 73, mengenai permasalahan hidup yang dialami oleh Asaf ketika melihat kehidupan orang-orang fasik yang secara kasar mata kelihatan lebih bernasib baik berbanding dengan mereka yang hidup takut akan Tuhan.
"Sebab kesakitan tidak ada pada mereka, sehat dan gemuk tubuh mereka; mereka tidak mengalami kesusahan manusia, dan mereka tidak kena tulah seperti orang lain...mereka menambah harta benda dan senang selamanya!" (ayat 4, 5, 12). Ini menimbulkan kegundahan dalam diri Asaf sehingga dia tidak berpuas hati kepada Tuhan dan mempertanyakan keadilan-Nya (ayat 13-14).
Ketahuilah bahawa untung nasib orang fasik itu bukan untuk selama-lamanya, hanya sementara sahaja. "Karena sedikit waktu lagi, maka lenyaplah orang fasik; jika engkau memperhatikan tempatnya, maka ia sudah tidak ada lagi." (Mazmur 37:10). Daud mengingatkan, "Jangan marah karena orang yang berbuat jahat, jangan iri hati kepada orang yang berbuat curang; sebab mereka segera lisut seperti rumput dan layu seperti tumbuh-tumbuhan hijau." (Mazmur 37:1-2).
Sesukar apa pun situasi atau keadaannya, biarlah kita tetap melakukan bahagian kita, iaitu hidup setia di hadapan Tuhan. Kuatkanlah dalam percaya. Ketahuilah bahawa orang yang jauh dari Tuhan akan mengalami kebinasaan (Mazmur 73:27). Nasib mereka yang baik tidak kekal lama.
Akhirnya Asaf menyedari bahawa tidak patut dia merasa cemburu dan iri hati dengan kehidupan orang-orang di luar Tuhan. Tidak ada istilah rugi atau sia-sia bila mempertahankan kesetiaan kita kepada Tuhan sebab pada saatnya Tuhan pasti akan membuat perbezaan. Ketidaktaatan pasti akan mendapatkan balasan, dan "...ada pahala bagi orang benar, sesungguhnya ada Allah yang memberi keadilan di bumi." (Mazmur 58:12).
Tuhan selalu ada di pihak orang benar. Kita tak perlu bimbang. Marilah kita menyedari akan hal ini. Kiranya Tuhan memberkati!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati anda!
A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment