Monday, July 2, 2018

Renungan Petang SDA Selasa 03 Julai 2018

Renungan Petang
Selasa, 03 Julai 2018

"Rumahku, Syurgaku"

"Harta yang indah dan minyak ada di kediaman orang bijak, tetapi orang yang bebal memboroskannya." Amsal 21:20

Kita sering mendengar ungkapan 'rumahku syurgaku' yang bermakna tidak ada tempat yang paling nyaman selain berada di rumah sendiri. Dalam ungkapan ini, secara fizikalnya sebuah rumah, sama ada rumah itu bersize besar atau kecil, mewah atau sederhana, berada di kawasan bandar atau di kawasan perkampungan, tidaklah begitu berpengaruh memberikan kebahagian. Ramai yang mengatakan bahawa sangat bahagia tinggal di rumah yang mewah tetapi sebenarnya tak seindah mana, tidak ada ketenteraman dan kenyamanan jika firman Tuhan tidak dipraktikkan di sana. Yang ada hanyalah pertengkaran di antara anggota keluarga.

Rasa nyaman, tenteram, tenang dan damai sangat dipengaruhi oleh faktor dalaman rumah itu. Mungkin sahaja rumah itu kecil dan sederhana tetapi apabila setiap penghuni rumah itu atau anggota keluarga sentiasa mempraktikkan hidup yang sesuai dengan firman Tuhan, pasti akan memiliki suasana yang sangat berbeza. Maka perkataan "mempunyai harta yang banyak, bahagia selamanya" adalah kurang tepat. Kehidupan berumahtangga yang bahagia adalah tempat kediaman orang bijak.

Orang bijak menurut kitab Amsal adalah orang yang mahu belajar dan diajar, mahu menerima teguran; orang yang bertumbuh di dalam hikmat, nasihat, kebijaksanaan dan pengetahuan; orang yang menjauhi kejahatan. Atau dengan kata lain orang bijak adalah orang yang takut akan Tuhan (orang percaya). Kerana memiliki hati yang takut akan Tuhan dan mempraktikkan firman, kita melihat bahawa di dalam kediaman orang bijak mempunyai buah Roh: "...kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelemahlembutan, penguasaan diri." (Galatia 5:22-23a).

Kesimpulannya, di dalam kediaman orang bijak sentiasa ada berkat yang berkelimpahan kerana ketaatannya melakukan firman Tuhan. Kerana di dalam kediaman orang bijak ada kebenaran, maka ada jaminan perlindungan dan penjagaan dari Tuhan bagi mereka, sehingga hari-harinya penuh dengan kemenangan. "Orang bijak dapat memanjat kota pahlawan-pahlawan, dan merobohkan benteng yang mereka percayai." (Amsal 21:22).


Kenyamanan dan ketenangan ada di kediaman orang bijak, kerana Tuhan ada di antara mereka. Jadikanlah kediaman kita sebagai "Syurga Kecil" yang sentiasa mempraktikkan firman Tuhan. Kiranya Tuhan memberkati!

No comments:

Post a Comment