Renungan Petang
Ahad, 08 Julai 2018
Ahad, 08 Julai 2018
Tiada Yang Terlalu Sukar Bagi Tuhan
"Gemetarlah, hai bumi, di hadapan TUHAN, di hadapan Allah Yakub, yang mengubah gunung batu menjadi kolam air, dan batu yang keras menjadi mata air!" Mazmur 114:7-8
Ada satu perkataan yang seringkali menghantui fikiran ramai orang iaitu, kata mustahil. Ketika sedang sakit parah, ramai orang mengatakan penyakitnya mustahil untuk disembuhkan, orang pasti mengalami kesedihan yang mendalam, tertekan dan putus asa. Ketika krisis kewangan melanda rumahtangga, kelihatannya tidak ada jalan keluar, ditambah lagi dengan pernyataan orang lain yang mengatakan bahawa keadaannya mustahil untuk dipulihkan, kita pasti bertambah lemah.
Sedarlah, iblis memang tidak pernah berhenti untuk membuat fikiran kita terganggu dan merasakan kemustahilan yang akhirnya kita hidup dalam ketakutan, kekhuatiran, dan keputusasaan.
Dalam hidup ini seringkali kita berhadapan dengan masalah, situasi atau keadaan yang mana sebagai manusia memang mustahil untuk mendapatkan pertolongan, jawaban atau jalan keluar. Namun pemazmur kembali menegaskan dan menguatkan bahawa manusia boleh saja berkata bahawa segala sesuatu itu tidak mungkin atau mustahil tetapi bagi Tuhan tidak ada perkara yang mustahi.
Alkitab menyatakan bahawa, "Tidak ada yang mustahil bagi orang yang percaya!" (Markus 9:23). Maksudnya jika kita sentiasa mengutamakan Tuhan dan percaya terhadap janji dan firman-Nya, maka semuanya tidak ada yang mustahil. Ada tertulis: "Apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, dan tidak pernah didengar oleh telinga, dan yang tidak pernah timbul di dalam hati manusia: semua yang disediakan Allah untuk mereka yang mengasihi Dia." (1 Korintus 2:9).
Jangan pernah takut menghadapi apa pun kerana ada Tuhan kita yang menyelesaikan kemustahilan manusia. "Bukankah Engkau yang mengeringkan laut, air samudera raya yang hebat? yang membuat laut yang dalam menjadi jalan, supaya orang-orang yang diselamatkan dapat menyeberang?" (Yesaya 51:10); Tuhan yang sanggup mengubah air menjadi anggur; Tuhan yang sanggup membangkitkan Lazarus yang sudah mati selama 4 hari.
Oleh itu, jangan pernah kita menghadkan kuasa Tuhan dengan akal fikir kita yang terhad, sebab "Seperti tingginya langit dari bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku dari jalanmu dan rancangan-Ku dari rancanganmu." (Yesaya 55:9). Tidak ada yang terlalu sukar bagi Tuhan, kerana Dia Tuhan yang Mahakuasa. Amen! Puji Tuhan!
Kiranya Tuhan memberkati!
Oleh : A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment