Selasa, 10 Julai 2018
Tuhan Pasti Dapat Melakukan
"'Percayakah kamu, bahwa Aku dapat melakukannya?' Mereka menjawab: 'Ya Tuhan, kami percaya.'" Matius 9:28
Kisah Tuhan Yesus menyembuhkan mata dua orang buta ini adalah kisah yang terdapat di dalam Injil Matius. Ketika bertemu dengan dua orang buta ini, Tuhan Yesus bertanya kepada mereka, "Percayakah kamu, bahawa Aku dapat melakukannya?" (Matius 9:28). Kedua-dua orang buta itu pun dengan penuh keyakinan menjawab, "Ya Tuhan, kami percaya." Matius 9:28).
Walaupun kedua-dua orang itu tidak dapat melihat secara mata fizikal tetapi mata rohani mereka dapat melihat Tuhan dengan kebesaran kuasa-Nya, sehingga mereka percaya bahawa Dia pasti sanggup melakukan mukjizat kesembuhan. Kerana memiliki respon hati yang positif, Tuhan Yesus pun bertindak untuk menjamah mereka, "Jadilah kepadamu menurut imanmu... Maka meleklah mata mereka." (ayat 29-30).
Ada ramai orang percaya yang tiada masalah penglihatan, dapat melihat apa pun tetapi mata rohaninya 'buta' seperti pelayan Elisa yang tak mampu melihat kebesaran kuasa Tuhan. Hanya sedikit sahaja masalah atau kesukaran yang dihadapi, mereka sudah diliputi ketakutan, mereka lupa dengan pertolongan Tuhan di masa-masa yang lalu. Pemazmur menasihati, "...dan janganlah lupakan segala kebaikan-Nya!" (Mazmur 103:2).
Dalam keadaan ketakutan, kita memerlukan iman. Iman dan ketakutan adalah dua hal yang sangat berbeza. Ketakutan hanya akan membawa kita untuk mempercayai hal-hal yang buruk terjadi, seperti yang dikatakan oleh Ayub, "Karena yang kutakutkan, itulah yang menimpa aku, dan yang kucemaskan, itulah yang mendatangi aku." (Ayub 3:25).
Iman membawa kita untuk percaya bahawa hal-hal yang baik dan ajaib pasti akan terjadi. Iman membuka mata rohani kita sehingga kita dapat mempercayai bahawa Tuhan sanggup melakukan apa sahaja perkara yang ajaib. Janganlah menyerah kalah dengan keadaan yang ada. Iman memimpin kita untuk melalui kemustahilan, sedangkan ketakutan hanya akan memunculkan kata mustahil dalam hidup ini.
"Besarlah TUHAN dan sangat terpuji, dan kebesaran-Nya tidak terduga. Angkatan demi angkatan akan memegahkan pekerjaan-pekerjaan-Mu..." Mazmur 145:3-4. Kiranya Tuhan memberkati!
No comments:
Post a Comment