Renungan Petang
Selasa, 24 Julai 2018
Selasa, 24 Julai 2018
Peliharalah Harta Yang Indah
"Jikalau engkau mencarinya seperti mencari perak, dan mengejarnya seperti mengejar harta terpendam, maka engkau akan memperoleh pengertian tentang takut akan TUHAN dan mendapat pengenalan akan Allah." Amsal 2:4-5
Ketika memperolehi harta kekayaan yang bersifat sementara, kita rela bekerja membanting tulang siang dan malam. Seharusnya juga kita berusaha sedemikian untuk memperolehi 'harta rohani' yang jauh lebih bernilai dan berharga daripada harta yang ada di dunia ini. "Carilah TUHAN dan kekuatan-Nya, carilah wajah-Nya selalu!" (1 Tawarikh 16:11).
Selagi kita masih sihat dan dalam keadaan baik, jangan pernah sia-siakan waktu dan kesempatan yang ada. Sebagaimana disiplin diperlukan dalam membangunkan kejayaan untuk mendapatkan hal-hal duniawi, maka disiplin juga harus ada untuk perkara-perkara rohani. Tetapi hal Syurga adalah yang terbaik dan terutama.
'Kerajaan Syurga dan kebenarannya seperti harta yang terpendam', bermakna tidak semua orang menyedari di mana 'Kerajaan Syurga' tersebut. Hanya orang yang ingin berusaha dan ingin mencari sahaja yang menyedari dan melihatnya.
Kita yang berpenat lelah mencari perkara-perkara rohani atau mengutamakan Kerajaan Allah dan kebenarannya akan mendapatkan berkat yang jauh lebih besar dibandingkan dengan mereka yang tidak bersungguh-sungguh atau lalai melakukannya, sebab, "Dalam tiap jerih payah ada keuntungan," (Amsal 14:23). Bangunkanlah disiplin untuk mencari Tuhan dan binalah hubungan erat dengan-Nya, "Sebab kamu tahu, bahwa dalam persekutuan dengan Tuhan jerih payahmu tidak sia-sia." (1 Korintus 15:58).
Harta rohani yang terpendam juga harus dicari dengan penuh ketekunan kerana tidak ada istilah 'ekpress' atau 'short cut' di dalam Tuhan. Ramai orang pada mulanya begitu bersemangat mengejar 'harta rohani' tetapi lama-kelamaan semangatnya menjadi pudar dan akhirnya hilang.
"Peliharalah harta yang indah, yang telah dipercayakan-Nya kepada kita, oleh Roh Kudus yang diam di dalam kita." 2 Timotius 1:14. Kiranya Tuhan memberkati!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati anda!
A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment