Sunday, July 29, 2018

Renungan Petang SDA, Isnin 30 Julai 2018

Renungan Petang
Isnin, 30 Julai 2018

Jagalah Lidah Mu

"Jagalah lidahmu terhadap yang jahat dan bibirmu terhadap ucapan-ucapan yang menipu;" Mazmur 34:14

Salah satu permasalahan yang sering terjadi sejak akhir-akhir ini adalah ramai orang yang lebih suka bercerita atau bersuara daripada mendengar. 'Sikit-sikit' suka membantah, berdebat, mengkritik, memaki atau kasar tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Maksudnya, orang lebih gemar bercerita atau bercakap-cakap tanpa ada keinginan untuk belajar mendengar kata-kata orang lain.

Ada tertulis: "Hidup dan mati dikuasai lidah, siapa suka menggemakannya, akan memakan buahnya." (Amsal 18:21). Berhati-hatilah. Lidah akan menentukan banyak perkara dalam hidup manusia, dan sebahagian besar persoalan dalam kehidupan berrumahtangga, masyarakat, gereja seringkali bermula dari lidah.

Sejak dari mula Tuhan menciptakan manusia dengan satu mulut dan dua telinga dengan tujuan supaya manusia lebih banyak mendengar daripada berkata-kata dan bukan sebaliknya. Maka sangat penting bagi kita supaya menjaga lidah atau percakapan kita. Orang yang takut akan Tuhan bukan hanya akan mampu menjaga hati dan fikiran tetapi juga lidahnya. 

Kalau dalam berkata-kata, suaranya pasti mendatangkan berkat, damai sejahtera, menguatkan dan memberi semangat. Sebaliknya orang yang tidak mampu menjaga lidahnya dan suka bercerita, di mana pun pasti tidak disukai orang dan pasti memiliki banyak musuh kerana lidahnya "...seperti pisau cukur yang diasah," (Mazmur 52:4), sehingga ramai orang terluka kerananya, yang akhirnya menjadi senjata makan tuan. Tuhan menghendaki kita supaya banyak mendengar.

"Hai anakku, perhatikanlah hikmatku, arahkanlah telingamu kepada kepandaian yang kuajarkan, supaya engkau berpegang pada kebijaksanaan dan bibirmu memelihara pengetahuan." (Amsal 5:1-2). Dengan mengarahkan telinga kepada nasihat, ajaran atau hal-hal positif dan terutama sekali mendengar firman Tuhan, maka bukan hanya pengetahuan, kebijaksanaan dan kepandaian yang semakin bertambah, tapi juga berkat-berkat Tuhan semakin dinyatakan dalam kehidupan kita.


Kiranya Tuhan memberkati!

Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!

A. A. Pondili

No comments:

Post a Comment