Renungan Petang
Ahad, 29 Julai 2018
Ahad, 29 Julai 2018
Terbaik Dari Tuhan
"Berikanlah kepada kami pertolongan terhadap lawan, sebab sia-sia penyelamatan dari manusia." Mazmur 108:13
Perjalanan hidup yang kita tempuhi selama di dunia ini bukannya selalu baik, ada kalanya kita menghadapi ujian dan halangan. Kadang-kadang langkah kaki kita tersangkut dan terjatuh. Dan kadang-kadang ada musuh atau pihak lawan berusaha untuk menjatuhkan kita. Kita tidak perlu terkejut akan hal ini, kerana hampir semua orang pasti pernah mengalaminya.
Yang disebut lawan di dalam Alkitab ada dua pihak, satu pihak adalah Iblis yang merupakan lawan utama, sedangkan yang lain adalah manusia, yang menjadi musuh dan berusaha untuk menjatuhkan serta menghancurkan. Tak terkecuali raja Daud yang juga terpaksa berhadapan dengan pihak lawan sepanjang kehidupannya. Manusia yang menjadi lawan Daud adalah mereka yang hatinya dipengaruhi oleh Iblis.
Bagaimana sikap orang percaya ketika berada di dalam keadaan sukar seperti ini? Kita tak perlu panik dan berusaha melawan pihak musuh dengan kekuatan sendiri. Serahkanlah semua itu kepada Tuhan melalui doa, kerana Dia adalah Hakim yang adil. Kita berdoa memohon kekuatan dan kesabaran. Tuhan pasti memberi pembelaan seperti doa Daud (Mazmur 108:13) dan seterusnya memberikan kemenangan.
Jangan sekali-kali kita menaruh pengharapan atau mencari pertolongan kepada manusia. "Celakalah orang-orang yang pergi ke Mesir minta pertolongan, yang mengandalkan kuda-kuda, yang percaya kepada keretanya yang begitu banyak, dan kepada pasukan berkuda yang begitu besar jumlahnya, tetapi tidak memandang kepada Yang Mahakudus, Allah Israel, dan tidak mencari TUHAN." (Yesaya 31:1).
Dahulukan Tuhan. Kemudian Tuhan boleh menggunakan sesama kita manusia untuk memberikan pertolongan. Selama kita masih mencari pertolongan kepada manusia, kita seolah-olah meremehkan kuasa Tuhan dan menempatkan Dia hanya sebagai alternatif. Berbeza dengan Daud yang sepenuh hati bersandar dan berharap hanya kepada Tuhan. "Dengan Allah akan kita lakukan perbuatan-perbuatan gagah perkasa, sebab Ia sendiri akan menginjak-injak para lawan kita." (Mazmur 108:14).
Ketika di dalam ketakutan, percayalah hanya kepada Tuhan, kerana pada saat yang tepat Tuhan pasti akan menegakkan keadilannya di bumi ini. Kiranya Tuhan memberkati!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!
A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment