Renungan Petang
Sabat, 14 Julai 2018
Sabat, 14 Julai 2018
Menjadi Pilihan Tuhan
"Yosua, dialah yang akan menyeberang di depanmu, seperti yang difirmankan TUHAN." Ulangan 31:3
Dalam suatu kesempatan, Musa berdiri di hadapan seluruh umat Israel untuk menyampaikan pesanan yang sangat penting. Musa menyedari usianya sudah semakin lanjut dan tidak lama lagi akan meninggal. Umat Israel harus bersedia menghadapi sebuah perubahan iaitu, berkenaan dengan kepemimpinan. Umat Israel tidak perlu takut dan khuatir jika suatu hari nanti Musa tidak ada lagi bersama-sama dengan mereka.
Musa memberi suatu peringatan agar umat Israel tetap mengarahkan pandangan hanya kepada Tuhan yang adalah pemimpin utama mereka dan bukan kepada manusia. "TUHAN, Allahmu, Dialah yang akan menyeberang di depanmu; Dialah yang akan memunahkan bangsa-bangsa itu dari hadapanmu, sehingga engkau dapat memiliki negeri mereka; Yosua, dialah yang akan menyeberang di depanmu, seperti yang difirmankan TUHAN." (ayat 3). Kini Tuhan telah menunjukkan dan memilih Yosua untuk meneruskan kepemimpinan menggantikan Musa.
Siapakah Yosua? Yosua adalah keturunan Efraim, anak dari Nun, di masa mudanya banyak menghabiskan masa di padang gurun dalam pengembaraan menuju ke Kanaan. Dia adalah hamba atau pelayan Musa yang setia. Dia juga mengalami masa-masa yang sukar, penuh ujian dan cabaran bersama Musa. Nama sebenarnya adalah Hosea, yang bermaksud Keselamatan. Tetapi Musa memanggilnya Yosua (baca Bilangan 13:16), yang bermaksud Dia akan menyelamatkan atau keselamatan dariNya.
Yosua tidak pernah membayangkan suatu masa nanti akan dipilih dan diamanahkan Tuhan untuk menerima sebuah tugas sebagai pemimpin untuk menggantikan Musa. Adalah tidak mudah untuk beroleh sebuah kepercayaan. Yosua diberi kepercayaan kerana kesetiaannya. "Sifat yang diinginkan pada seseorang ialah kesetiaannya;" (Amsal 19:22). Alkitab menyatakan bahawa orang-orang yang setialah yang dipakai Tuhan untuk menggenapi rancangan-Nya.
Orang setia tetap akan setia walaupun berhadapan dengan ujian dan cabaran yang besar. Di zaman moden seperti sekarang ini, tentunya sukar sekali menemukan orang yang memiliki kesetiaan tinggi seperti Yosua ini. Sungguh benar apa yang dikatakan pemazmur: "...orang saleh telah habis, telah lenyap orang-orang yang setia dari antara anak-anak manusia." (Mazmur 12:2). Kerana kesetiaannya sangat teruji, Yosua diberikan kepercayaan penuh menggantikan Musa.
Apakah anda dan saya mampu menjadi umat-umat pilihan Tuhan yang setia di zaman akhir ini, yang semakin lama semakin penuh ujian dan cabaran? Kiranya Tuhan memberkati!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati anda!
No comments:
Post a Comment