Renungan Petang
Rabu, 18 Julai 2018
Rabu, 18 Julai 2018
Perlindungan Dan Kekuatan, Yesus
"Allah itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan," Mazmur 46:12
Di zaman dahulu setiap kota biasanya memiliki benteng, pintu gerbang kota dan juga tembok yang mengelilingi kota tersebut, dengan tujuan supaya kota itu dapat dilindungi dari serangan musuh. Walau bagaimanapun, perlindungan yang dibina oleh manusia adalah terhad, tidak sepenuhnya dapat memberikan jaminan perlindungan dan keselamatan yang sempurna. "...jikalau bukan TUHAN yang mengawal kota, sia-sialah pengawal berjaga-jaga." (Mazmur 127:1).
Bani Korah dalam nyanyiannya menyatakan bahawa kota benteng orang percaya adalah Tuhan, Dialah bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan. Maksudnya, ketika kita masuk ke kota benteng perlindungan itu, kita akan beroleh jaminan keamanan, ketenangan dan perlindungan, kerana "Allah ada di dalamnya, kota itu tidak akan goncang;" (Mazmur 46:6). Adakah tempat di dunia ini yang dapat memberi jaminan keselamatan dan perlindungan sempurna bagi manusia? Tidak ada.
Di masa sekarang ini ramai orang mengalami ketakutan yang luar biasa kerana bencana terjadi di mana-mana, "Bangsa-bangsa ribut, kerajaan-kerajaan goncang..." (Mazmur 46:7), namun sebagai orang percaya kita tidak perlu khuatir dan takut, "...karena kita menerima kerajaan yang tidak tergoncangkan," (Ibrani 12:28). Sekalipun musuh menyerang, sekalipun setiap hari kita dikhabarkan dengan berita-berita menggemparkan, perlindungan yang Tuhan sediakan sudah lebih daripada cukup untuk membuat kita aman, tenteram dan merasakan damai sejahtera yang luar biasa.
Tuhan sebagai kota benteng bermaksud Dia adalah sebagai tempat perlindungan dan kekuatan bagi kita. Ada ramai orang mengeluh, berputus asa atau tertekan kerana merasa sudah tidak kuat, tidak sanggup dan tidak mampu menanggung beban hidup yang teramat berat. Dalam keadaan seperti itu, mereka bukannya mencari Tuhan tetapi menyelesaikan dengan jalan pintas, tindakan kompromi dengan dosa. Jalan keluar tidak dapat ditemukan, mereka semakin terjerumus ke lubang yang semakin dalam. "Ada jalan yang disangka orang lurus, tetapi ujungnya menuju maut." (Amsal 14:12).
Adalah sia-sia belaka jika kita mencari pertolongan di luar Tuhan. Hanyalah Tuhan yang dapat memberikan jaminan perlindungan dan keselamatan yang sempurna. KepadaNyalah kita berharap. Kiranya Tuhan memberkati!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati anda!
A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment