Friday, July 20, 2018

Renungan Petang SDA, Sabat 21 Julai 2018

Renungan Petang
Sabat, 21 Julai 2018

Tujuan Hidup Orang Percaya

"Setelah ditemukannya mutiara yang sangat berharga, iapun pergi menjual seluruh miliknya lalu membeli mutiara itu." Matius 13:46

Semua orang pasti memiliki tujuan atau impian yang hendak dicapai dalam hidupnya. Ada yang ingin menjadi kaya atau hidup berkecukupan, berjaya dalam pendidikan, perniagaan maju, atau mempunyai jawatan tinggi dan banyak lagi. Untuk mencapai tujuan itu, orang akan berjuang dan berusaha sedemikian rupa. Semakin giat orang berusaha semakin dekat kepada tujuan tersebut.

Untuk berusaha mencapai tujuan tersebut, ramai orang sibuk mengejar perkara-perkara duniawi dan melupakan perkara-perkara rohani yang tentunya jauh lebih berharga dan mulia. Jangan sampai kita hanya bersemangat untuk mencari harta kekayaan duniawi yang hanya sementara sahaja sedangkan usaha untuk mencari harta terpendam (perkara rohani) seringkali dilupakan. Firman Tuhan sudah memperingatkan, "Tetapi carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenarannya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu." (Matius 6:33).

Kerajaan Allah dan kebenarannya merupakan harta yang tak ternilai harganya yang patut diutamakan melebihi segala sesuatu yang ada di dunia ini. Kerajaan Allah dan kebenarannya hanya dapat kita perolehi jika kita mahu berkorban dengan segala sesuatu yang dapat menghalangi kita untuk memilikinya, seperti dalam perumpamaan ini: "Oleh sebab sukacitanya pergilah ia menjual seluruh miliknya lalu membeli ladang itu." (Matius 13:44). Maksud menjual seluruh miliknya adalah mengalihkan perhatian dengan segenap hati dari segala perkara yang lain dan hanya fokus kepada "...perkara yang di atas, di mana Kristus ada," (Kolose 3:1).

Apa yang menjadi fokus hidup anda pada saat ini? Apakah perkara duniawi atau syurgawi? Jawapanya, hanya pada kita masing-masing. Tujuan hidup bagi orang percaya hanyalah untuk Tuhan, tinggal bersama Yesus Kristus di Syurga. "Terpujilah Allah dan Bapa Tuhan kita Yesus Kristus yang dalam Kristus telah mengaruniakan kepada kita segala berkat rohani di dalam sorga." Efesus 1:3. Kiranya Tuhan memberkati!


Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati anda!

A. A. Pondili

No comments:

Post a Comment