Renungan Petang
Rabu, 04 Julai 2018
Rabu, 04 Julai 2018
Memberi Dan Menerima Teguran
"TUHAN mengutus Natan kepada Daud." 2 Samuel 12:1
Bercerita tentang nabi Natan, ingatan kita pasti tertuju kepada Daud. Ini adalah kerana nabi Natan adalah salah seorang nabi yang memiliki hubungan yang sangat rapat dengan raja Daud. Kerana begitu rapat, maka Daud pun tidak segan-segan untuk mengungkapkan apa yang menjadi masalah hidupnya kepada nabi Natan. Salah satunya adalah ketika Daud mempunyai kerinduan untuk membina bait Tuhan. Perasaan ini dikongsikan kepada nabi Natan, di mana akhirnya Tuhan menggunakan nabi-Nya untuk menjawab kerinduan Daud ini walaupun yang akan melaksanakan pembangunan bait-Nya bukanlah dia tetapi keturunannya (2 Samuel 7:12-13).
Nama Natan dalam bahasa Ibrani bermaksud Tuhan telah memberikan. Sesuai dengan maksud namanya, Tuhan telah memberikan Natan bagi Daud, Tuhan memakai nabi Natan untuk menyatakan kehendak-Nya atau menjadi juru bicara-Nya bagi Daud. Bukan hanya itu, Tuhan juga menyediakan seorang rakan yang tidak takut menyatakan kebenaran, menegur kesalahan, atau yang mampu bersikap tegas tanpa kompromi.
Ketika Daud jatuh dalam dosa perzinahan dengan Batsyeba, nabi Natan menegurnya dengan menggunakan perumpamaan. Dengan perumpamaan yang disampaikan oleh Natan, tanpa disedari Daud menyalahkan dirinya sendiri (2 Samuel 12:5). Teguran tegas nabi Natan terhadapnya ini tidak membuat Daud naik marah atau memusuhi Natan, sebaliknya dia menunjukkan kualiti hidupnya sebagai pemimpin sejati, "...menegakkan keadilan dan kebenaran bagi seluruh bangsanya." (2 Samuel 8:15). Dengan penuh penyesalan, Daud mengakui kesalahan dan dosanya (2 Samuel 12:13), Tuhan pun mengampuninya (baca 1 Yohanes 1:9).
Adalah bukan mudah menegur, menyatakan kebenaran dan bersikap tegas kepada orang lain seperti nabi Natan. Ramai orang yang memilih untuk berkompromi atau menutup mata ketika melihat orang-orang yang dikasihi atau disayangi melakukan perbuatan yang menyimpang dari firman. Dengan alasan, takut dia marah, tersinggung dan kemudian memutuskan hubungan. Tetapi ingat, inilah tanggungjawab anda, nyatakan kebenaran dengan bijak dan berani. "Seorang kawan memukul dengan maksud baik, tetapi seorang lawan mencium secara berlimpah-limpah." Amsal 27:6.
No comments:
Post a Comment