Renungan Petang
Ahad, 15 Julai 2018
Ahad, 15 Julai 2018
Tuhan Sentiasa Menyertai
"Kuatkan dan teguhkanlah hatimu, janganlah takut dan jangan gemetar karena mereka, sebab TUHAN, Allahmu, Dialah yang berjalan menyertai engkau; Ia tidak akan membiarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau." Ulangan 31:6
Ketika dipilih Tuhan untuk menggantikan Musa, kemungkinan besar respon Yosua adalah terkejut dan tidak tenang. Ada kemungkinan juga ada sedikit keraguan dan kerisauan bermain difikirannya. Dapatkah dia memimpin suatu bangsa yang besar ini? Bagaimana reaksi umat Israel jika kemampuannya dalam memimpin tidak setanding dengan pemimpin sebelumnya (Musa)?
Itulah sebabnya, Musa memberikan nasihat yang boleh menguatkan dan meneguhkan, "...janganlah takut dan jangan gementar karena mereka, sebab TUHAN, Allahmu, Dialah yang berjalan menyertai engkau; Ia tidak akan membiarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau." (Ula 31.6).
Mendapat kepercayaan dari ramai orang sebagai pemimpin tentunya bukan mudah. Yosua harus mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan semua potensi yang sudah Tuhan letak dalam hidupnya kepada umum. Memang untuk menyempurnakan visi besar Tuhan iaitu, memimpin bangsa Israel menuju ke Tanah perjanjian, bukanlah perkara mudah kerana ada banyak ujian dan cabaran yang bakal dihadapi atau musuh-musuh yang harus ditaklukkan. Jadi, seorang pemimpin haruslah tenang, berfikiran positif, berani dan tidak mudah berputus asa.
Yang perlu diketahui oleh Yosua adalah dia tidak sendirian, "Sebab TUHAN, Dia sendiri akan berjalan di depanmu, Dia sendiri akan menyertai engkau, Dia tidak akan membiarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau; janganlah takut dan janganlah patah hati." (ayat 8). Oleh itu, Yosua harus terus maju dalam berpegang teguh kepada janji dan firman Tuhan. "Setiap tempat yang akan dipijak oleh telapak kakimu Kuberikan kepada kamu, seperti yang telah Kujanjikan kepada Musa." (Yosua 1:3).
Tuhan memberikan kunci rahsia untuk mencapai kejayaan : "Janganlah engkau lupa memperkatakan kitab Taurat ini, tetapi renungkanlah itu siang dan malam, supaya engkau bertindak hati-hati sesuai dengan segala yang tertulis di dalamnya, sebab dengan demikian perjalananmu akan berhasil dan engkau akan beruntung." (Yosua 1:8).
Kunci kepemimpinan yang berjaya adalah berjalan bersama dengan Tuhan, sentiasa melibatkan-Nya, dan berpegang teguh kepada janji dan firman-Nya. Kiranya Tuhan memberkati!
A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment