Saturday, August 4, 2018

Renungan Petang SDA, Ahad 05 Ogos 2018

Renungan Petang
Ahad, 05 Ogos 2018

Menerima Sesuai Dengan Perbuatan

"Sebab kita semua harus menghadap takhta pengadilan Kristus, supaya setiap orang memperoleh apa yang patut diterimanya, sesuai dengan yang dilakukannya dalam hidupnya ini, baik ataupun jahat." 2 Korintus 5:10

Ramai orang berfikir bahawa hidup di dunia ini hanya sekali sahaja, lalu mati dan berakhir di sana. Lalu apakah kata mereka? "Selagi masih hidup marilah kita bersenang-senang dan melakukan apa sahaja yang kita mahu." Ingatlah bahawa kematian itu bukan akhir dari segalanya, malahan menjadi awal dari kehidupan yang sesungguhnya. "Dan sama seperti manusia ditetapkan untuk mati hanya satu kali saja, dan sesudah itu dihakimi," (Ibrani 9:27). Manusia lupa bahawa ada penghakiman setelah kematian.

Rasul Yohanes mendapat penglihatan, "Dan aku melihat orang-orang mati, besar dan kecil, berdiri di depan takhta itu. Lalu dibuka semua kitab. Dan dibuka juga sebuah kitab lain, iaitu kitab kehidupan. Dan orang-orang mati dihakimi menurut perbuatan mereka, berdasarkan apa yang ada tertulis di dalam kitab-kitab itu." (Wahyu 20:12). Apapun yang dilakukan manusia selama hidup di dunia, pada saatnya harus dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan. Sesungguhnya Tuhan tidak senang hati untuk menghukum manusia. Tuhan mengutus hamba-hamba-Nya untuk memberitakan Injil kebenaran ke seluruh pelusuk bumi

"Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorangpun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku." (Yohanes 14:6), dan "...keselamatan tidak ada di dalam siapapun juga selain di dalam Dia, sebab di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan." (Kisah 4:12). Tetapi yang sedihnya, masih ramai orang yang menolak mentah-mentah injil kebenaran Tuhan, "Sebab pemberitaan tentang salib memang adalah kebodohan bagi mereka yang akan binasa," (1 Korintus 1:18).

Kehidupan ini sungguh teramat singkat, tak lebih dari sebuah persinggahan sementara, "...jika kemah tempat kediaman kita di bumi ini dibongkar, Allah telah menyediakan suatu tempat kediaman di sorga bagi kita, suatu tempat kediaman yang kekal, yang tidak dibuat oleh tangan manusia." (2 Korintus 5:1). Oleh itu, waktu yang terhad ini marilah kita pergunakan sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri sebelum kematian menjemput. Kerana orang mati tidak tahu apa-apa, tidak tahu bertaubat.

Buat keputusan mulai sekarang, sebab penyesalan di kemudian hari tiada berguna lagi. Kiranya Tuhan memberkati!


Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!

A. A. Pondili

No comments:

Post a Comment