Saturday, August 11, 2018

Renungan Petang SDA, Sabat 11 Ogos 2018

Renungan Petang
Sabat, 11 Ogos 2018

Pujilah Nama Tuhan

"Bersorak-sorailah bagi Allah, hai seluruh bumi, mazmurkanlah kemuliaan nama-Nya, muliakanlah Dia dengan puji-pujian!" Mazmur 66:1-2

Orang percaya tidak dapat dipisahkan dengan pujian.  Dalam setiap kebaktian, aspek pujian selalunya mendapat perhatian anggota selain pemberitaan firman Tuhan. Memuji Tuhan seharusnya menjadi bahagian hidup orang percaya setiap hari. Kita memuji Tuhan bukan hanya ketika kita dalam keadaan senang atau sukacita sahaja tetapi dalam apa juga keadaan.

Daud berkata, "Aku hendak memuji TUHAN pada segala waktu; puji-pujian kepada-Nya tetap di dalam mulutku." (Mazmur 34:2), bahkan "Tujuh kali dalam sehari aku memuji-muji Engkau, karena hukum-hukum-Mu yang adil." (Mazmur 119:164).

Seberat apa pun masalah yang kita hadapi jangan pernah berhenti memuji Tuhan. Jangan sampai kita dikalahkan oleh situasi atau keadaan yang ada. Kerana itu katakanlah kepada jiwamu, "Mengapa engkau tertekan, hai jiwaku, dan gelisah di dalam diriku? Berharaplah kepada Allah! Sebab aku akan bersyukur lagi kepada-Nya, penolongku dan Allahku!" (Mazmur 42:6).

Ketika kita memuji-muji Tuhan, Dia akan bertindak melepaskan kita dari kesusahan. "Sebab Ia melepaskan aku dari segala kesesakan, dan mataku memandangi musuhku." (Mazmur 54:9), dan Ia "...melepaskan kita dari musuh-musuh kita dan dari tangan semua orang yang membenci kita," (Lukas 1:71). Mata jasmani kita tidak melihat tetapi percayalah dengan mata iman bahawa saat kita memuji Tuhan Dia akan berperang menggantikan kita.

Hiduplah sentiasa dalam puji-pujian dan di saat keadaan tersukar sekali pun kerana ketika kita melakukannya Tuhan akan hadir dan kehadiran-Nya pasti disertai dengan hadiratNya yang penuh kuasa. Memuji Tuhan adalah yang harus dilakukan oleh semua orang percaya, sebab kita diciptakan untuk kemuliaan nama-Nya (baca Yesaya 43:7).

Kiranya Tuhan memberkati!


Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!

A. A. Pondili

No comments:

Post a Comment