Renungan Petang
Khamis, 02 Ogos 2018
Khamis, 02 Ogos 2018
Pujian Hanya Untuk Tuhan
"Maka datanglah imam dewa Zeus, yang kuilnya terletak di luar kota, membawa lembu-lembu jantan dan karangan-karangan bunga ke pintu gerbang kota untuk mempersembahkan korban bersama-sama dengan orang banyak kepada rasul-rasul itu." Kisah 14:13
Panggilan Tuhan Yesus membawa khabar baik kepada dunia adalah tanggungjawab semua orang percaya. "Merekapun pergilah memberitakan Injil ke segala penjuru, dan Tuhan turut bekerja dan meneguhkan firman itu dengan tanda-tanda yang menyertainya." (Markus 16:20). Ke mana pun hamba-hamba Tuhan pergi memberitakan Injil Roh Kudus menyertai dan turut bekerja. Di mana ada Roh Kudus sesuatu yang dahsyat pasti terjadi, perkara-perkara ajaib dan menghairankan. Yang sakit disembuhkan, yang terbelenggu dibebaskan, yang buta pun dicelikkan dan yang lumpuh dapat berjalan.
Di Listra ada orang yang lumpuh kakinya sejak lahir. "Ia duduk mendengarkan, ketika Paulus berbicara. Dan Paulus menatap dia dan melihat. Lalu kata Paulus dengan suara nyaring: 'Berdirilah tegak di atas kakimu!' Dan orang itu melonjak berdiri, lalu berjalan kian ke mari." (Kisah 14:9-10). Kerana iman, orang yang lumpuh itu dapat berjalan. Orang ramai yang melihat kejadian tersebut merasa kagum dan memuji-muji Paulus dan Barnabas. Mereka menganggap kedua-duanya dewa yang turun dari langit. Paulus disebutnya Hermes, dan Barnabas disebut Zeus.
Orang ramai fikir yang melakukan mukjizat tersebut adalah Paulus dan Barnabas. Mereka tidak mengerti bahwa yang melakukan semua mukjizat itu sesungguhnya adalah Tuhan sendiri melalui kuasa Roh-Nya, sedangkan hamba Tuhan adalah alat-Nya. Pujian manusia acapkali melenakan dan membuat orang lupa daratan. Ini berbahaya.
Ada ramai orang jatuh ketika mereka sedang 'di atas' kerana tidak tahan dengan pujian, hormat dan sanjungan manusia. Memang sukar untuk tetap rendah hati dalam situasi seperti itu. Ketika sedang dipuji-puji, segeralah Paulus dan Barnabas berlari ke tengah-tengah mereka dan berkata, "Hai kamu sekalian, mengapa kamu berbuat demikian? Kami ini adalah manusia biasa sama seperti kamu." (Kisah 14:15a). Di zaman sekarang ini ramai orang percaya menjadi sombong, merasa hebat dan layak ketika namanya semakin dikenali di khalayak orang ramai.
Pujian adalah hanya untuk Tuhan, jangan sekali-kali kita mencuri kemuliaan-Nya. Kiranya Tuhan memberkati!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!
A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment