Saturday, August 4, 2018

Renungan Petang SDA, Sabat 04 Ogos 2018

Renungan Petang
Sabat, 04 Ogos 2018

Pilihan Di Tangan Anda

"Lihat, Aku berdiri di muka pintu dan mengetok; jikalau ada orang yang mendengar suara-Ku dan membukakan pintu, Aku akan masuk mendapatkannya dan Aku makan bersama-sama dengan dia, dan ia bersama-sama dengan Aku." Wahyu 3:20

Orang bertanya-tanya, jika Tuhan itu berkuasa mengapa Dia seolah-olah membiarkan penyakit dan kesusahan menimpa semua orang? Mengapa Dia tidak langsung menyembuhkan atau memberkatinya? Sudah tentu Tuhan itu Mahakuasa, tetapi Dia hanya akan melakukan sesuatu dalam diri seseorang ketika orang itu mengizinkan Dia bekerja. "Kalau Tuhan berkuasa, bukankah Dia dapat melakukan segala sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri?" Sudah pasti dalam sekelip mata sahaja Tuhan pasti dapat menyembuhkan, memberkati, menolong dan menyelamatkan setiap orang yang berdosa tanpa melalui proses pertaubatan jika Dia mahu.

Tetapi Tuhan tak ingin manusia ciptaan-Nya itu seperti robot yang dapat dijadikan apa sahaja.  Sesungguhnya jika Tuhan mahu, Dia dapat memaksa setiap orang untuk bertaubat dan menerima-Nya sebagai Juruselamat dalam hidupnya. Tetapi Tuhan memberikan kepada setiap manusia kebebasan sehingga manusia mempunyai hak untuk menentukan pilihannya sendiri. Manusia dapat memilih untuk menerima Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat dalam hidupnya. Atau sebaliknya mereka melakukan seperti yang dilakukan oleh orang pada zaman Isreal dahulu atau pada saat ini iaitu, membenci, menghujat dan menolak Yesus Kristus.

Tuhan Yesus hanya berdiri di depan pintu hati setiap orang dan Dia mengetuk. Jika kita mendengar suara-Nya dan membukakan pintu hati bagi-Nya, Dia akan masuk ke dalam kehidupan kita. Jadi Tuhan tak pernah memaksa kita, walaupun sesungguhnya Dia begitu ingin semua orang mendapatkan keselamatan kekal melalui iman percaya kepada-Nya, "...tetapi Ia sabar terhadap kamu, karena Ia menghendaki supaya jangan ada yang binasa, melainkan supaya semua orang berbalik dan bertobat." (2 Petrus 3:9).

Bahkan setelah seseorang itu bertaubat dan "lahir baru" dia juga tak kehilangan kehendak bebasnya untuk memilih taat kepada firman atau tidak. Yang harus disedari adalah, bahawa "...ketidaktaatan mendapat balasan yang setimpal," (Ibrani 2:2), sebaliknya kalau kita mahu taat maka berkatlah yang menjadi bahagian hidup kita. "...barangsiapa yang benar, biarlah ia terus berbuat kebenaran;" Wahyu 22:11. Kiranya Tuhan memberkati!


Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!

A. A. Pondili

No comments:

Post a Comment