Wednesday, August 1, 2018

Renungan Petang SDA, Rabu 01 Ogos 2018

Renungan Petang
Rabu, 01 Ogos 2018

Tahu Tetapi Tidak Melakukan

"Sebab itu turutilah dan lakukanlah segala sesuatu yang mereka ajarkan kepadamu, tetapi janganlah kamu turuti perbuatan-perbuatan mereka, karena mereka mengajarkannya tetapi tidak melakukannya." Matius 23:3

Ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi adalah contoh orang yang banyak tahu tentang firman Tuhan, malahan boleh dikatakan sangat 'expert' dalam hal Taurat Musa. Mereka juga mengajarkan apa yang diketahuinya kepada orang-orang Yahudi. Bukankah hebat? Ya, di hadapan manusia mungkin kelihatan hebat tetapi sebenarnya mereka tidak melakukan apa yang dipelajari dan diajarkan. Itulah sebabnya Tuhan Yesus mengecam keras orang-orang yang demikian dan menyebut mereka sebagai orang-orang munafik.

Perkataan munafik memiliki maksud berpura-pura percaya atau setia dan sebagainya kepada agama dan sebagainya, tetapi sebenarnya dalam hatinya tidak. Suka (selalu)  mengatakan sesuatu yang tidak sesuai dengan perbuatannya atau bermuka dua.  Mereka mengetahui kebenaran dengan baik tetapi mereka sendiri tidak hidup dalam kebenaran. Yakobus menulis: "Jadi jika seorang tahu bagaimana ia harus berbuat baik, tetapi ia tidak melakukannya, ia berdosa." (Yakobus 4:17).

Tahu maksudnya, kita melihat dan merasa. Ini berkaitan dengan apa yang kita boleh lakukan. Jadi sepatutnya kita boleh melihat dan tahu bagaimana cara untuk bertindak (melakukan kebenaran). Atau dalam kata lain, seharusnya dapat melakukan hal itu dengan mudah, namun dengan sengaja tidak mahu melakukannya. Jangan pernah membanggakan diri kerana kita tahu banyak tentang Alkitab atau aktiviti gereja jika hal itu hanya sekadar tahu secara teori atau mungkin sangat bijak tetapi tidak melakukan firman Tuhan.

Alkitab menyatakan: "Sebab dari buahnya pohon itu dikenal." (Matius 12:33). Jika kita tahu bahawa hal itu adalah kehendak Tuhan, tetapi kita tidak mahu melakukannya, betapa berdosanya kita. Lakukanlah yang terbaik terhadap semua orang sesuai dengan kehendakNya. Kiranya Tuhan memberkati!

Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!

A. A. Pondili


No comments:

Post a Comment