Renungan Petang
Isnin, 13 Ogos 2018
Isnin, 13 Ogos 2018
Ada Sesuatu Di Sebaliknya
Lalu Yosua memanggil mereka dan berkata kepada mereka, demikian: "Mengapa kamu menipu kami dengan berkata: Kami ini tinggal sangat jauh dari pada kamu, padahal kamu diam di tengah-tengah kami? Yosua 9:22
Ada hal yang menarik ketika orang Israel hendak menumpaskan bangsa-bangsa sekitar tanah Kanaan sebelum mereka tiba di tempat itu. Ketika Yerikho hendak dikalahkan, di sana terdapat Rahab, seorang wanita yang "tidak baik" tetapi demi menyelamatkan diri dan keluarganya, dia melakukan "hal yang baik" (walaupun dengan cara yang tidak baik) bagi para pengintai Israel untuk menolong orang Israel. Dipendekkan cerita, dia akhirnya diselamatkan dari kebinasaan.
Sementara dalam cerita tentang orang Gibeon ini, mereka sebenarnya adalah orang-orang yang cukup baik baik (setidak-tidaknya jika dibandingkan dengan keperibadian Rahab) tetapi melakukan hal yang "tidak baik" dengan cara yang "tidak baik".
Sama ada Rahab mahupun orang Gibeon, sama-sama telah mendengar tentang Orang Israel, sama-sama tahu betapa dashyatnya Allah orang Israel, sama-sama ingin diselamatkan tetapi sikap atau respon mereka amat berbeza. Apakah respon mereka?
Rahab, bukan hanya "sekadar" menginginkan nyawanya diselamatkan tetapi juga dia mahu "menggantikan" kepercayaannya yang lama dengan "menyembah" Allah Israel. Dengan kata lain dia ingin diselamatkan secara rohani juga (akhirnya dia menjadi salah satu dari bahagian penting dalam silsilah keturunan Yesus, Matius 1:5).
Sementara orang Gibeon, tidak ada tanda-tanda menunjukkan mereka ingin "menyembah" Allah Israel. Dengan kata lain, mereka hanya mahu diselamatkan secara fizikalnya tetapi tidak mahu secara rohani (tentu ini berbeza dengan Rahab), maka akhirnya "nasib" terakhir mereka berbeza.
Rahab menjadi sebahagian dari orang Israel, dia memperolehi haknya sama seperti umat-umat Allah yang lain, dia menjadi orang merdeka seperti orang-orang Israel, dia juga menjadi orang yang diberkati. Sementara orang-orang Gibeon, mereka seumur hidup atau sampai keturunannya menjadi hamba bagi orang Israel, kehidupannya tentu tidak sama dengan orang Israel, mereka tentunya tidak menerima berkat seperti umat-umat Allah yang lain.
Jujurlah terhadap semua umat Tuhan. Tiada yang tersembunyi di hadapanNya. Orang percaya haruslah menjadi berkat kepada semua orang. Kiranya, Tuhan memberkati, Amen!
Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!
A. A. Pondili
No comments:
Post a Comment