Monday, August 6, 2018

Renungan Petang SDA, Isnin 06 Ogos 2018

Renungan Petang
Isnin, 06 Ogos 2018

Bersemangat Melakukan Firman Tuhan

"Ketika mereka sampai ke tempat pengirikan Nakhon, maka Uza mengulurkan tangannya kepada tabut Allah itu, lalu memegangnya, karena lembu-lembu itu tergelincir." 2 Samuel 6:6

Dalam kisah ini kita melihat betapa bersemangatnya bangsa Israel ketika membawa tabut Tuhan kembali ke Yerusalem. "Mereka menaikkan tabut Allah itu ke dalam kereta yang baru setelah mengangkatnya dari rumah Abinadab yang di atas bukit. Lalu Uza dan Ahyo, anak-anak Abinadab, mengantarkan kereta itu. Daud dan seluruh kaum Israel menari-nari di hadapan TUHAN dengan sekuat tenaga, diiringi nyanyian, kecapi, gambus, rebana, kelentung dan ceracap."  (ayat 3, 5). Tabut adalah tanda kehadiran Tuhan di antara umat-umatNya dan menjadi pusat dari kehidupan bangsa Israel.

Kerana terlalu bersemangat sehingga mereka mengabaikan peraturan yang telah ditetapkan.  Dalam peraturan tersebut dijelaskan bahawa tidak ada seorang pun diperbolehkan menyentuh tabut perjanjian, lambang kehadiran Tuhan itu. "...janganlah mereka kena kepada barang-barang kudus itu, nanti mereka mati." (Bilangan 4:15). Namun Uza telah melanggar ketetapan Tuhan, iaitu "...mengulurkan tangannya kepada tabut Allah itu,"  (2 Sam 6:6). Kerana kelalaiannya, Uza terpaksa menuai akibatnya, "...ia mati di sana dekat tabut Allah itu." (2 Samuel 6:7).

Rupa-rupanya jika hanya bermodalkan semangat sahaja dalam melayani Tuhan tidaklah mencukupi tanpa disertai pengetahuan yang benar akan Tuhan dan taat melakukan kehendak-Nya. "Sebab Aku menyukai kasih setia, dan bukan korban sembelihan, dan menyukai pengenalan akan Allah, lebih dari pada korban-korban bakaran." (Hosea 6:6). Kesetiaan atau ketaatan itu jauh lebih berharga daripada sekadar semangat dalam melayani, dan jauh bernilai dibandingkan dengan korban persembahan kita.

Mungkin kita hebat berkhotbah, pemimpin yang disanjung tinggi atau memiliki kebijaksanaan tetapi jika tidak menjadi pelaku firman, maka apa yang kita lakukan adalah sia-sia. Perlanggaran atau ketidaktaatan tetaplah memiliki kesan dan akibatnya. Mempersembahkan tubuh sebagai persembahan yang hidup, kudus dan yang berkenan (taat) adalah tanda kita menghargai hadirat Tuhan. Tuhan memberkati!


Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!

A. A. Pondili

No comments:

Post a Comment