Friday, August 3, 2018

Renungan Petang SDA, Jumaat 03 Ogos 2018

Renungan Petang
Jumaat, 03 Ogos 2018

Tuhan Sentiasa Mengingati UmatNya

"Dosa-dosaku pada waktu muda dan pelanggaran-pelanggaranku janganlah Kauingat, tetapi ingatlah kepadaku sesuai dengan kasih setia-Mu, oleh karena kebaikan-Mu, ya TUHAN." Mazmur 25:7

Semua orang pasti berharap dirinya selalu diingati dan tidak dilupakan oleh seseorang seperti kawan, saudara atau orang tercinta. Betapa sedih dan kecewanya bila pada suatu masa kita bertemu dengan kawan lama, kawan kita itu sudah tidak lagi mengingati atau lupa. Kita patut bersyukur, walaupun manusia boleh melupakan kita dan tidak lagi mengingati kita tetapi Tuhan tak pernah melupakan kita. "Jika aku melihat langit-Mu, buatan jari-Mu, bulan dan bintang-bintang yang Kautempatkan: apakah manusia, sehingga Engkau mengingatnya? Apakah anak manusia, sehingga Engkau mengindahkannya?" (Mazmur 8:4-5).

Alkitab menegaskan orang benarlah yang selalu diingat oleh Tuhan. Apakah benar? "..Orang benar itu akan diingat selama-lamanya." (Mazmur 112:6). Namun ada seorang penjahat yang diingat Tuhan, ketika di akhir perjalanan hidupnya, dia merendahkan diri dan berpengharapan penuh kepada Tuhan. Oleh kerana imannya itu, Dia tidak lagi memperhitungkan dosa-dosanya, sebaliknya Dia mengingati dan menyelamatkannya. Orang itu adalah salah seorang penjahat yang disalibkan bersama Tuhan Yesus.

Ketika penjahat lain menghujat-Nya, "Bukankah Engkau adalah Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!" (Lukas 23:39), tetapi penjahat yang seorang lagi berkata, "Yesus, ingatlah akan aku, apabila Engkau datang sebagai Raja." (Lukas 23:42). Ketika Tuhan Yesus dalam keadaan tak berdaya, masih tergantung di atas kayu salib, penjahat ini percaya bahawa Dia adalah Raja. Kerana imannya, berkatalah Tuhan Yesus kepadanya, "...sesungguhnya hari ini juga engkau akan ada bersama-sama dengan Aku di dalam Firdaus." (Lukas 23:43).

Walaupun tadinya penjahat itu sama seperti penjahat lain di sebelah Tuhan Yesus, namun dia telah membuat keputusan penting dalam hidupnya, iaitu bertaubat dan menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat pada saat dia masih berada di atas kayu salib. Dia menerima Tuhan Yesus sebagai Raja sebelum dia mati. Kehidupan di masa lalu tak menentukan keselamatan. Asalkan kita mahu bertobat, langkah terakhir dari hidup ini yang menentukan. Tuhan memberkati!


Nota: Renungan ini boleh dikongsikan kepada rakan-rakan anda yang lain atau sesiapa sahaja. Injil kebenaran Tuhan harus diberitakan di seluruh dunia. Tuhan memberkati!

A. A. Pondili

No comments:

Post a Comment